Bot karam di Semporna: Seorang hilang, seorang selamat

SEMPORNA, 5 JULAI – Seorang lelaki dilaporkan hilang, manakala rakannya ditemukan selamat selepas bot dinaiki karam akibat dipukul ombak di perairan Pulau Mabul, dekat sini, semalam.

Mangsa yang terselamat, Salimin Paludin, 44, sempat menghubungi abangnya untuk memaklumkan kepada pihak polis mengenai kejadian menimpa mereka kira-kira 7 pagi itu.

Salimin kemudian diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna pada 9:45 pagi dan dihantar ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan, manakala rakannya Mahmur Ajae, 45, tidak ditemukan.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Komander Maritim Norrimi Hassan berkata ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang dijalankan dengan membabitkan lima sektor pencarian berkeluasan 101 batu nautika persegi.

“SAR diaktifkan pada 1:30 tengah hari semalam selepas menerima panggilan PPM mengenai kejadian terbabit pada 10:45 pagi.

“Ketika ini aset terlibat mencari mangsa hilang adalah aset Maritim Semporna iaitu Bot Ronda Banggi 09, Banggi 10 serta Banggi 31, selain

itu operasi berkenaan turut dibantu anggota dan aset PPM, bomba serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.

Menurut Norrimi, difahamkan kedua-dua mangsa merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan ketika kejadian mereka menaiki bot berwarna biru untuk memancing. – Bernama