Bot karam: Empat pemancing diselamatkan

KOTA KINABALU, 29 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kudat berjaya menyelamatkan empat orang pemancing yang terkandas di sebuah peranti penangkap bilis (Bagang) selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pitas lewat petang Sabtu lepas.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander (M) Boon Chin Chau berkata Pusat Operasi Zon Maritim Kudat menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.10 pagi, daripada anak saudara salah seorang pemancing menyatakan bapa saudaranya bersama tiga orang mangsa terkandas di sebuah Bagang di perairan Pitas.

“Bot peronda Zon Maritim Kudat yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah diatur gerak ke tempat kejadian pada kira-kira 6:35 pagi sebaik menerima laporan.

 “Mangsa yang terkandas ditemui pada kedudukan 1.6 batu nautika barat laut Pulau Gusung Malanta Pitas. Angin kencang dan laut bergelora menyebabkan sedikit kesukaran untuk mengesan lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kesemua mangsa dikenali sebagai Moksin Asing, 52, Muslimin Adau, 52, Mohd Rafi Mohd Rasit, 46, dan Julmat Mamat, 43, ditemui dalam keadaan selamat dan seterusnya didaratkan di Jeti Dataran Bengkoka, Pitas. – Bernama