KUCHING, 5 OKT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat hari ini masih belum menemukan pembantu tekong yang hilang dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Satang di sini, Sabtu lepas.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata setakat 3 petang tadi, pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk baharu berkaitan dengan mangsa.
“Keadaan cuaca sewaktu pasukan penyelamat melakukan operasi SAR pada hari ini dilaporkan agak berangin dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan laut berombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter.
“Keluasan pencarian hari ini merangkumi kawasan seluas 450.24 batu nautika persegi dengan fokus pencarian adalah di perairan Santubong, Pulau Satang, Pulau Sampadi sehingga ke Tanjung Datu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabtu lepas sembilan daripada 10 pemancing yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari perairan Pulau Satang, berjaya diselamatkan oleh komuniti nelayan di sekitar Pulau Satang Besar sekitar 1 pagi (Ahad), manakala seorang pembantu tekong masih belum ditemukan. – Bernama