Bot lesap, lebih 1,000 karton rokok dirampas

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Lebih 1,321 karton rokok pelbagai jenama berjaya dirampas dalam dua kejadian berasingan yang berlaku awal pagi ini dan kelmarin.

Dalam kejadian pagi tadi, sebanyak 1,110 karton rokok telah ditemui dalam rondaan rutin di perairan negara yang dijalankan oleh anggota peronda sungai Polis Marin, Jabatan Gerakan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

Semasa rondaan, PPDB telah mengesan sebuah bot yang sarat dan mencurigakan sedang dalam perjalanan menuju ke kawasan Pulau Chermin.

Sejurus menyedari kehadiran polis marin, bot tersebut terus memecut dan mengubah haluan bertujuan untuk melarikan diri.

Semasa insiden kejar-mengejar itu, bot yang mencurigakan bertindak memecut lebih laju dengan membuang kotak-kotak dari bot tersebut sehingga tidak dapat dikejar.

Barang tegahan berupa rokok pelbagai jenama telah dirampas oleh PPDB semasa membuat rondaan di perairan negara.

Lebih 1,321 karton rokok berjaya dirampas pihak PPDB dalam dua kejadian berasingan. – Gambar oleh PPDB

Pemeriksaan lanjut ke atas kotak-kotak yang terapung itu merupakan barang-barang tegahan dan segera dipunggah dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin untuk dijalankan siasatan awal.

Kes seterusnya diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, pada kejadian kedua di kawasan Kuala Lurah, Limau Manis, sebanyak 211 karton rokok turut dirampas oleh Pasukan Simpanan Polis ‘C’ Kompeni, PPDB bersama anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Insiden itu melibatkan dua lelaki warga Malaysia yang dipercayai dalang kepada cubaan menyeludup barang tegahan itu ke Negara Brunei Darussalam. Kedua-dua suspek berserta barang tegahan dibawa ke Balai Polis Limau Manis dan siasatan kes dipindahkan ke JKED bagi siasatan lanjut.

PPDB bersama ABDB akan sentiasa komited mengendalikan operasi-operasi sepadu menjurus kepada pembanterasan penyeludupan barang-barang tegahan di kawasan sempadan Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu juga, PPDB akan terus meningkatkan lagi rondaan dan pemantauan dalam menangani apa juga aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk kegiatan penyeludupan dari semasa ke semasa khususnya di kawasan perairan negara.