Bot pelarian Rohingya dipintas

COX’S BAZAR, Bangladesh, 8 Nov – Pengawal pantai Bangladesh telah menyelamatkan seramai 33 warga Rohingya dan menahan enam lagi yang disyaki penyeludup manusia dari sebuah kapal pukat tunda menuju ke Malaysia di Teluk Bengal, menurut seorang pegawai, semalam.

Mereka yang diselamatkan terdiri daripada 14 orang lelaki, 10 wanita dan sembilan kanak-kanak yang pernah berlindung di kem pelarian di Daerah Cox’s Bazar, tenggara Bangladesh, menurut pemerintah pengawal pantai di tenggara bandar Teknaf, Fayezul Islam Mondol.

“Kami turut menahan enam orang penyeludup manusia. Kesemua mereka adalah warganegara Bangladesh,” katanya kepada AFP.

Kira-kira 720,00 orang pelarian minoriti Myanmar yang ditindas telah mendapatkan perlindungan di kem-kem Bangladesh sejak Ogos tahun lalu.

Mereka melarikan diri dalam apa yang digelar oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembersihan etnik di negeri Rakhine, Myanmar dan menyertai kira-kira 300,000 pelarian yang sudah pun berada di kem-kem yang disediakan di Cox’s Bazar.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, penyeludup manusia telah menghantar berpuluh-puluh ribu Rohingya dari kem-kem Bangladesh ke Malaysia sebelum Bangladesh melancarkan tindakan keras pada 2015 setelah pihak berkuasa Thailand menemukan kubur besar-besaran dan bot-bot yang penuh sesak dengan ribuan pelarian, hanyut di lautan. – AFP