ATHENS, 28 Sept – Seorang budak perempuan berusia sembilan tahun maut hari ini manakala 25 yang lain berjaya diselamatkan selepas bot membawa penghijrah karam di luar pantai Greece, kata pengawal pantai Greece. Pencarian masih dijalankan untuk mengesan lebih banyak penghijrah yang mungkin menaiki bot boleh kembung itu, yang telah berlepas dari Turki dan karam di luar pulau Kastelorizo, pulau Greece di tenggara laut Aegean.
Budak perempuan berkenaan ditemui oleh bot peronda agensi pasukan sempadan EU, Frontex namun meninggal dunia di hospital Kastelorizo, kata pengawal pantai.
Seramai 20 daripada 25 orang yang diselamatkan telah ditemui di pantai berbatu-batan pulau itu, yang mana mereka berjaya berenang ke pesisir.
Tiada butiran dikeluarkan mengenai kerakyatan mereka. – AFP