Bot penghijrah karam, dua terkorban

ANKARA, 22 Okt – Dua orang terbunuh hari ini selepas sebuah bot yang membawa penghijrah haram tenggelam di luar pantai barat daya Turki, kata pengawal pantai Turki.

Seramai 17 yang lain diselamatkan selepas bot itu menghadapi masalah 50 meter di luar pantai daerah Bodrum di wilayah Mugla, katanya dalam satu kenyataan.

Pada mulanya 20 orang dibawa ke hospital termasuk tiga orang yang berjaya sampai ke pantai tanpa bantuan tetapi dua orang mati selepas itu.

Usaha mencari dan menyelamat sedang diteruskan, kata pengawal pantai. Bot itu, dipercayai membawa hampir 30 orang, sedang dalam perjalanan ke Pulau Greece Kos, lapor NTV.

Pegawai tidak memberikan butir-butir kerakyatan penghijrah. Bagaimanapun, Turki menjadi tuan rumah kepada tiga juta pelarian Syria dan 300,000 warga Iraq.

Ia juga salah sebuah negara transit yang digunakan oleh penghijrah yang melarikan diri dari konflik dan kemiskinan untuk sampai ke Eropah. – AFP