Bottas juara GP Turki

ISTANBUL, 11 OKT – Pemandu Mercedes, Valtteri Bottas meraih kejuaraan pertamanya musim ini apabila memenangi Grand Prix Turki semalam manakala Max Verstappen kembali merampas status selaku pendahulu kejuaraan.

Pemandu The Red Bull itu menamatkan perlumbaan di tempat kedua sekali gus mengatasi rakan sepasukan Bottas, Lewis Hamilton dengan kelebihan enam mata selepas pemandu Britain itu keciciran mata penting dan sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Pada aksi Litar Antarabangsa Istanbul, Bottas tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kedudukan pendahulu selepas memulakan perlumbaan di petak pertama sekali gus mendominasi sepenuhnya perlumbaan sebanyak 58 pusingan itu.

Bottas mengatakan bahawa sudah lama dirinya menantikan detik muncul juara dalam saingan musim ini selepas gagal mempamerkan prestasi konsisten bersama jentera seperti yang diharapkan.

“Ini adalah perlumbaan terbaik yang pernah saya lalui kerana bukan mudah untuk menang perlumbaan GP selepas sekian lama mengalami kemarau kejuaraan.

Seorang lagi pelumba Red Bull, Sergio Perez, melengkapkan podium di tempat ketiga, manakala pemandu Ferrari, Charles Leclerc menduduki tempat keempat. – AFP

Pemandu Mercedes Valtteri Bottas menjulang trofi di podium selepas memenangi Grand Prix Turki di litar Intercity Istanbul Park di Istanbul, Turki pada 10 Oktober 2021. – AP