Bottas juara latihan pertama GP Itali

MONZA, ITALI, 4 SEPT – Valtteri Bottas mencatat masa terpantas di depan pemimpin kejohanan dan rakan sepasukan Lewis Hamilton apabila Mercedes menjuarai latihan pembukaan Grand Prix Itali pada hari ini di Monza.

Pemandu Finland itu, bertekad untuk memulihkan nasib dan bidaan kejuaraannya, mencatat masa terbaik dalam satu minit dan 20.703 saat untuk menewaskan juara enam kali sebanyak 0.245 saat, margin yang baik di salah satu litar paling pantas dalam kalendar Formula Satu.

Alex Albon adalah pemandu ketiga terpantas, hampir lapan persepuluh saat dari masa paling pantas, di depan pemandu Alpha Tauri Daniil Kvyat dan rakan sepasukan Red Bull Max Verstappen dengan Pierre Gasly di tempat keenam.

Sergio Perez menduduki tangga ketujuh untuk Racing Point di depan Lando Norris dalam pasukan McLaren pertama, Ricciardo dari Renault dan Carlos Sainz dalam kereta McLaren kedua. Seperti yang dijangkakan, ia merupakan pagi yang mengecewakan untuk Ferrari dan peminat mereka apabila ‘scarlet sucderia’ dan pasukan pelanggan mereka gagal memberikan sebarang impak. – AFP

Autodromo Nazionale di Monza kelmarin sebelum Grand Prix Itali. – AFP