BARCELONA, 9 Mac – Valtteri Bottas dari Finland mencatatkan masa terpantas ujian setakat pra musim ini, sementara rakan senegaranya, Kimi Raikkonen berakhir lebih awal kerana menghadapi kemalangan di Barcelona semalam.
Bottas, yang membuat kemunculannya bersama Mercedes selepas mengambil alih daripada juara dunia yang bersara, Nico Rosberg, mengatasi masa terbaiknya sebelum ini dari minggu lalu dengan hampir empat saat dalam masa satu minit 19.310 ketika Mercedes mengukuhkan dominan mereka di tangga teratas masa terpantas.
Rakan sepasukan, Lewis Hamilton mengambil alih dari Bottas dengan Mercedes bagi sesi petang, tetapi adalah keenam terpantas ketika dia memberikan tumpuan ke atas perlumbaan lebih lama dalam melengkapkan 79 pusingan.
“Kami menunjukkan perkembangan yang menarik sebagai sebuah pasukan dan saya merasakan lebih selesa dengan kereta itu setiap kali saya keluar di atas litar,” kata Bottas.
“Masih banyak tugasan yang dilakukan bagi memaksimumkan ujian dua hari seterusnya.

“Pusingan terpantas tidak penting dalam ujian. Apa yang penting adalah di mana anda berada apabila berada di Melbourne (musim pembukaan pada 26 Mac).”
Raikkonen dari Ferrari adalah ketiga terpantas tetapi terlepas sesi sebelah petang selepas merempuh dinding tayar pada selekoh ketiga.
Juara dunia 2007 itu tidak mengalami kecederaan tetapi kereta SF70H perlu ditarik dan tidak dapat meneruskan perlumbaan.
Felipe Massa adalah yang terpantas dengan Williams pada Selasa lalu dan pemandu dari Brazil itu mencatatkan satu lagi masa menarik hanya sepuluh saat lebih perlahan berbanding Bottas di kedudukan kedua terpantas.
Pemandu dari Belanda, Max Verstappen juga mengalami kerosakan lewat, tetapi hanya selepas dia melengkapkan lebih 100 pusingan dengan mencatatkan masa keempat terpantas dengan Red Bull. – AFP