Bottas sertai Alfa Romeo

PARIS, 7 SEPT – Valtteri Bottas telah menandatangani perjanjian dengan pasukan Alfa Romeo bermula musim hadapan, menurut pengumuman yang dibuat oleh pasukan Formula Satu (F1), kelmarin, memberi laluan kepada George Russell untuk menyertai Lewis Hamilton di Mercedes.

“Satu lembaran baharu dalam karier perlumbaan saya sudah terbuka, saya teruja untuk menyertai pasukan Alfa Romeo Racing bagi tahun 2022 dan seterusnya menyertai cabaran baharu bersama pengeluar ikonik tersebut,” menurut Bottas dalam kenyataannya.

Bottas, 32, menghabiskan lima musim bersama-sama juara dunia tujuh kali, Hamilton, di Mercedes, selepas menggantikan Nico Rosberg, yang bersara setelah memenangi kejuaraan pada 2016.

Pemandu Finland itu memenangi sembilan perlumbaan Grand Prix dan meraih petak hadapan sebanyak 17 kali dalam 92 permulaan bersama pasukan, namun tidak konsisten untuk mencabar Hamilton.

Bottas menamatkan di kedudukan kedua dalam kejohanan dunia pada dua musim kebelakangan, tetapi menurun di kedudukan ketiga pada tahun ini.

Gambar fail reaksi Valtteri Bottas semasa sidang media di Grand Prix Styrian, Austria. Bottas bakal menyertai pasukan Alfa Romeo pada 2022.- AFP

Kali terakhir dia memenangi perlumbaan adalah di Grand Prix Rusia pada September 2020.
“Saya sangat bangga dengan pencapaian saya di Mercedes dan saya fokus sepenuhnya untuk menamatkan tugasan dengan memenangi satu lagi kejuaraan,” kata Bottas.

“Tetapi saya tidak sabar untuk menghadapi cabaran baharu yang menanti saya tahun hadapan.”

Bottas akan menggantikan rakan senegaranya, Kimi Raikkonen di Alfa Romeo. Juara dunia 2007 itu akan bersara daripada sukan tersebut pada penghujung kempen ini.

“Saya memenuhi peluang untuk membantu pasukan meningkat dalam kedudukan,” ujar Bottas.

“Terutama dengan peraturan baharu pada 2022 memberikan pasukan peluang untuk meningkatkan persembahan.”

Alfa Romeo hanya mengutip tiga mata sepanjang 13 perlumbaan pada musim ini dan berada di kedudukan kesembilan dalam kedudukan kejohanan.- AFP