Boustead Fun Fest hujung minggu ini

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Boustead Sdn Bhd julung-julung kalinya akan menganjurkan Boustead Fun Fest Weekend dengan kerjasama SEA Drone Championship pada hujung minggu ini di Taman Jubli Perak bermula 10 pagi hingga 6 petang.

Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan pada acara tersebut termasuklah Snake & Ladder, Nissan Thrill disusuli acara kemuncak, Urban Race yang mana orang ramai berpeluang memenangi baucar bernilai $1,000, tertakluk kepada terma dan syarat, manakala itu, untuk kanak-kanak, terdapat bouncer dan pemberian aiskrim percuma.

Nissan dan Suzuki juga akan mengadakan uji pandu bagi kereta model terpilih pada acara dua hari itu. Mekanisme uji pandu pula lebih menumpukan keseronokan memandu dan menarik untuk dicuba orang ramai bagi mendapatkan pengalaman dan pemahaman mengenai kereta yang diuji pandu.

Pelanggan kedua-dua jenama kereta terbabit juga boleh merebut tawaran terkini apabila membuat pembelian Nissan dan Suzuki pada acara itu. Antara tawaran tersebut ialah 2020 Paradise Gateway Nissan, Great Halo Treasure bagi Suzuki dan harga menarik bagi Kenstyle pada Disember ini.

Pegawai Perhubungan Awam Boustead Sdn Bhd, Dayang Julia Farhanah binti Haji Mohamad Yusof pada sidang media mengenai acara itu bersama pengamal media hari ini, mengatakan bahawa Boustead akan terus mengadakan acara seumpamanya pada masa akan datang dalam usahanya memupuk hubungan kekeluargaan dan mendekatkan lagi jenama kereta yang dibawakannya bersama para pelanggan.