Boustead pelawa meriahkan Color Your Style

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama hadir memeriahkan lagi acara istimewa Nissan, bertema Colour Your Style, yang menawarkan sesi dandanan dan solekan mini percuma yang akan berlangsung selama dua hari, pada 13 dan 14 Januari di Dewan Pameran Nissan, Beribi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Boustead Sdn Bhd, acara istimewa itu akan mengetengahkan syarikat tempatan iaitu Inspiration Alan Salon dan The Face Shop untuk menawarkan perkhidmatan mereka kepada para pengunjung ke acara yang dijadualkan bermula dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang.

Menurut Boustead lagi, antara acara yang menarik diadakan pada 13 Januari adalah sesi melukis muka bermula pukul 9 pagi hingga 11 pagi dan sesi solekan (makeover) mini bermula 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Manakala itu, pada 14 Januari, antara acara yang menjadi tarikan termasuk sesi airbrush tattoo bermula 10 pagi hingga 11 pagi dan sesi dandanan rambut bermula pukul 2 petang hingga 3.30 petang.

Kenderaan Nissan yang menampilkan rekaan bergaya yang dipamerkan di Dewan Pameran Nissan, Beribi.
Kenderaan Nissan yang menampilkan rekaan bergaya yang dipamerkan di Dewan Pameran Nissan, Beribi.

Pengurus Pemasaran Boustead Sdn Bhd, Alvin Kho berkata bahawa selain daripada sebagai tanda penghargaan kepada orang ramai yang terus memberikan sokongan kepada mereka, acara itu juga dipadankan dengan tema promosi Nissan yang sedang berlangsung iaitu ‘Style The Way You Want.’

Beliau menerangkan lagi bahawa menjadi harapan pihaknya supaya orang ramai akan memadankan kenderaan Nissan dengan rekaan yang penuh bergaya iaitu objektif utama di sebalik promosi dan acara istimewa yang diadakan itu.

Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bersama-sama keluarga mereka untuk memeriahkan lagi acara istimewa berkenaan serta untuk menikmati pelbagai hidangan yang disajikan sepanjang acara istimewa berkenaan.