Bouteflika sedia bertanding

ALGIERS, 11 Feb – Presiden Abdelaziz Bouteflika mengisytiharkan bahawa beliau dijangka akan melanjutkan penggal kelima dalam pilihan raya April nanti, menurut pesanan yang disiarkan oleh media tempatan kelmarin, selepas beliau disokong oleh partinya dan gabungan parti pemerintah.

Pemimpin berusia 81 tahun itu menggunakan kerusi roda dan jarang sekali memunculkan diri sejak mengalami strok pada 2013.

“Sudah tentu, saya tidak begitu kuat berbanding sebelum ini, sesuatu yang tidak saya sembunyikan daripada orang ramai,” kata Bouteflika, menurut agensi berita APS tatkala beliau membuka mulut mengenai pilihan raya pada 18 April nanti.

“Tetapi keinginan saya untuk berkhidmat tidak pernah hilang dan ia membolehkan saya untuk menjangkaui halangan yang berhubung dengan masalah kesihatan di mana satu hari nanti sesiapa sahaja akan menghadapi,” tambah presiden.

Terkenal dengan memakai sut tiga lapis meskipun dalam keadaan panas, Bouteflika menerima penghormatan atas peranannya dalam menamatkan perang saudara yang berdasarkan jumlah rasmi, hampir 200,000 orang terkorban.

Beliau mengambil kesempatan semasa peningkatan harga minyak antara 2004 dan 2014 untuk melancarkan program infrastruktur besar-besaran dan mengeluarkan Algeria daripada dibelenggu hutang.

Tetapi negara yang bergantung kepada ekonomi hidrokarbon menerima tamparan hebat akibat kejatuhan harga minyak mentah semasa penggal keempat memerintah dan sekarang hampir suku rakyat Algeria di bawah 25 tahun mengganggur.

Bouteflika berdepan kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia dan para penentang yang menuduhnya mengamalkan pemerintahan kuku besi. – AFP

Gambar fail pada 4 Mei 2017 menunjukkan Presiden Abdelaziz Bouteflika ketika mengundi di Algiers. Bouteflika mengisytiharkan bahawa beliau dijangka akan melanjutkan ke penggal kelima dalam pilihan raya April nanti. – AP