BoVEA lindungi pemilik, pembeli hartanah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Penubuhan Lembaga Penilai dan Ejen Hartanah (BoVEA) adalah untuk menyediakan mekanisme dan sistem pendaftaran bagi penilai dan ejen hartanah dan mengawal selia kelayakan pendaftaran, amalan dan perkhidmatan penilaian serta pemasaran hartanah bagi menjamin profesionalisme dan etika penilai dan ejen hartanah yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan.

“Langkah ini dibuat bagi memastikan semua pemilik dan pembeli hartanah di negara ini dilindungi daripada ejen-ejen hartanah yang tidak bertanggungjawab yang hanya mengaut untuk ikut cara yang salah dan menjejaskan imej industri hartanah di negara ini.”

Penerangan itu dibuat oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Keahlian BoVEA Brunei Darussalam serta Penyampaian Sijil Pendaftaran dan Amalan yang berlangsung di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan, hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Presiden Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek Brunei Darussalam (PUJA), Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pengerusi BoVEA, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad selaku ahli Lembaga Pengelola Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dan jemputan khas.

Pada majlis berkenaan, Dr Nor Imtihan dalam kata alu-aluannya menekankan bahawa penilai mengikut Seksyen 14(2) Perintah Penilai dan Ejen Hartanah 2009, tiada siapa pun boleh menjalankan perniagaan atau mengambil pekerjaan sebagai seorang penilai di bawah apa-apa nama, sebutan atau gelaran yang memberikan makna bahawa dia adalah seorang penilai, dan tiada sesiapa pun boleh menjalankan bagi satu bayaran sebarang kerja seorang penilai melainkan jika dia adalah seorang penilai berdaftar.

Dr Nor Imtihan (kiri) dan Dr Haji Azman (kanan) bertukar-tukar dokumen MoU yang dimeterai dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi (tengah).

Beliau turut menyatakan bahawa penubuhan BoVEA diharap akan dapat menjamin mutu perkhidmatan setiap penilai dan ejen harta tanah berdaftar di Negara Brunei Darussalam supaya akan dapat memberikan khidmat mereka secara profesional, berintegriti lagi beretika dan memberi manfaat bagi menjamin keharmonian serta kemaslahatan umum.

Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato menyempurnakan penyampaian sijil lantikan keahlian BoVEA Brunei Darussalam, Sijil Pendaftaran dan Amalan kepada penilai berdaftar dan ejen harta tanah berdaftar bagi 2019 serta menyempurnakan pelancaran laman sesawang BoVEA.

Majlis turut menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pembangunan dan IBTE di mana menandatangani bagi pihak Kementerian Pembangunan ialah Dr Nor Imtihan dan IBTE diwakili Dr Haji Azman serta disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi.

Matlamat utama MoU itu adalah untuk memberikan peluang kepada IBTE membuka semula kursus pendidikan teknikal yang relevan dalam kerjaya hartanah dan memberikan sokongan berterusan dua hala bagi menjamin kemajuan industri hartanah di Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, laman sesawang www.bovea.gov.bn boleh dilayari oleh sesiapa sahaja khususnya kepada yang bergiat aktif dan terlibat dalam industri hartanah terutamanya mereka yang ingin memohon sebagai penilai atau ejen hartanah berdaftar dan penilai atau ejen harta tanah berdaftar yang menjalankan amalan di mana permohonan mereka akan dihadapkan ke Urus setia BoVEA, Divisyen Pengurusan Lembaga, Kementerian Pembangunan.