Boya penanda sangkar ikan sedang dipasang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) memaklumkan para pelaut bahawa Sangkar Ikan Luar Pantai telah dipasang oleh Syarikat Hiseaton Fisheries (B) Sdn Bhd dan Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) sejak April 2020.

PBMP dalam kenyataannya yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa pemasangan sangkar ikan berkenaan akan menyebabkan pembatasan kepada keselamatan pelayaran dan pihak Jabatan Perikanan, KSSUP bercadang akan memasang boya marin penanda.

Kenyataan menyatakan bahawa kerja-kerja pemasangan boya penanda berkenaan masih dalam proses dan dalam hal yang berkaitan, kedudukan bagi boya berkenaan akan dimaklumkan kemudian.

Sehubungan itu, pelaut-pelaut, terutamanya nelayan tempatan dan mana-mana kapal yang berjentera umum dikehendaki untuk menjauhi diri daripada kawasan berkenaan serta senantiasa lebih berhati-hati apabila berlayar di kawasan tersebut.

Kenyataan menyatakan bahawa pemilik kapal, nakhoda kapal dan orang yang bertanggungjawab ke atas kapal hendaklah mematuhi notis ini di mana kegagalan berbuat demikian, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi $10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada masa yang sama, pihak Jabatan Perikanan dan Syarikat Hiseaton Fisheries (B) Sdn Bhd akan senantiasa memantau perjalanan operasi tersebut.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, boleh hubungi Muizzah di Pejabat Pentadbiran Syarikat Hiseaton Fisheries (B) Sdn Bhd menerusi talian 8656806 atau dari Jabatan Perikanan, Dayang Emma Farhana binti Abdul Pakar menerusi talian 8907324 dan Awang Abdul Azim Jambol menerusi talian 8921801.