Oleh Daniel Lim
BELAIT, 10 APRIL – Sebagai usaha kebajikan kepada masyarakat dalam bulan Ramadan ini, Persaudaraan Baden-Powell (BPG) Persatuan Pengakap Daerah Belait telah mengagih-agihkan bubur kacang kepada masjid-masjid dan orang kurang bernasib baik di Daerah Belait, hari ini.
Sebelum pengagihan, ahli-ahli pengakap bergotong-royong menyediakan bubur berkenaan di kediaman salah seorang penasihat BPG dan diselia oleh pengerusi acara, Awang Beelie bin Tengah.
Ketika ditemui, Awang Beelie menjelaskan bahawa ahli-ahli BPG berkenaan yang merangkumi ahli-ahli pengakap dari seluruh daerah ini telah menyediakan lebih 300 bungkus bubur kacang.
Hadir untuk menyaksikan penyediaan bubur kacang berkenaan ialah Pengerusi BPG Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Pengiran Dr Haji Mohamed bin Pengiran Damit; Penolong Pengerusi BPG Persatuan Pengakap Daerah Belait, Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Ghani serta ahli-ahli pengakap dari BPG berkenaan.
Pengerusi berserta jemputan lain turut mengagihkan bubur tersebut kepada perwakilan dari empat buah masjid berkenaan iaitu Masjid STKRJ Lorong Tiga Selatan, Masjid Pekan Seria, Masjid Kampung Sungai Liang dan Masjid Zainab.
Di samping itu, rombongan kecil juga berkunjung ke rumah-rumah orang kurang bernasib baik untuk menyerahkan bubur tersebut.
