Tuesday, July 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brady kekang kemaraan Chelsea

    BURNLEY, 13 Feb – Penampilan pertama Robbie Brady di laman sendiri, bermula dengan menakjubkan apabila dia menjaringkan satu sepakan percuma menarik bagi memastikan Burnley mengikat Chelsea seri 1-1 semalam, menghalang Chelsea daripada memperoleh kemungkinan 12 mata di persada Liga Perada.

    Brady membatalkan gol pembukaan daripada Pedro dan sementara mata pendahuluan Chelsea menjadi 10 mata, kelebihan itu mungkin akan dikurangkan kepada lapan mata jika Manchester City menang di Bournemouth.

    Jaringan Brady itu meneruskan kejayaannya menentang pengurus Chelsea, Antonio Conte, dengan pemain sayap itu juga telah menjaringkan gol kemenangan bagi Ireland menentang Itali kendalian Conte dalam peringkat kumpulan Euro 2016. “Kami kecewa dengan satu mata ini kerana saya fikir kami seharusnya menang,” kata Conte.

    “Ia mengecewakan. Kami bermula dengan sangat baik dan mencipta beberapa peluang, kemudian Burnley memperoleh jaringan melalui sepakan percuma. Kini ia adalah penting untuk bermula semula.”

    Pemain sayap Burnley, Robbie Brady (dua kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika menentang Chelsea dalam aksi Liga Perdana di Stadium Turf Moor. – AP
    Pemain sayap Burnley, Robbie Brady (dua kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika menentang Chelsea dalam aksi Liga Perdana di Stadium Turf Moor. – AP

    Burnley kelihatannya dapat mencegah permulaan agresif pendahulu liga itu. Tetapi pasukan Sean Dyche, yang telah memenangi tujuh perlawanan berturut-turut di Turf Moor selepas tewas kepada Manchester City pertengahan November, menunjukkan permainan cekal dan selayaknya mendapat gol penyamaan melalui Brady.

    Nemanja Matic melakukan faul ke atas Joey Barton di luar petak. Brady, yang merupakan pembelian rekod kelab dengan nilai 13 juta pound dari Norwich City bulan lepas, mempunyai peluang menunjukkan kebolehannya.

    Ia tidak mengecewakan apabila dia melakukannya dengan bergaya, membuat sepakan melencong dari jarak 20 ela, dan menuju ke sudut atas gawang menewaskan penjaga gol tinggi lampai Chelsea, Thibaut Courtois.

    Jaringan menarik itu membatalkan jaringan pembukaan Chelsea yang dihasilkan oleh Pedro di minit ketujuh. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda