MONTEVIDEO, 8 OKT – Gabriel Barbosa berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti lima minit sebelum perlawanan tamat sekali gus mengekalkan rekod sempurna buat Brazil dalam aksi kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan dengan bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas Venezuela.
Ini adalah kemenangan kesembilan daripada sembilan perlawanan buat Selecao dan mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu di peringkat kumpulan kepada lapan mata berada di depan Argentina, yang seri menentang Paraguay.
Jaringan awal oleh Eric Ramirez meletakkan Venezuela di hadapan dalam pertemuan di Caracas namun tandukan Marquinhos berjaya menyamakan kedudukan sebelum Barbosa menjaringkan gol sepakan penalti pada lewat perlawanan.
Pemain gantian Antony menambah derita Venezuela lima minit sebelum waktu kecederaan seterusnya mengekalkan kedudukan tuan rumah di kedudukan tercorot kumpulan.
“Ia satu perlawanan yang sukar, kami memulakan perlawanan di jauh bawah tahap sebenar kami, ” kata Marquinhos.
“Kami bangkit pada separuh masa kedua dan mujur meraih keputusan positif seperti yang kami inginkan.”
Bermain tanpa Neymar yang digantung perlawanan, Brazil hampir hilang arah, mendominasi permainan namun gagal untuk mencipta peluang sehinggalah lewat perlawanan.
Venezuela memberi kejutan mendahului perlawanan seawal minit ke-11 ketika Yeferson Soteldo melakukan hantaran lintang kepada Ramiurez yang tidak dikawal dan menanduk masuk ke sudut gawang.
Marquinhos berjaya menanduk masuk dari sepakan sudut tendangan Raphinha pada minit ke-19, walaupun penjaga gawang Venezuela, Joel Graterol hampir berjaya menyelamatkannya.
Kemudian Oscar Gonzalez menjatuhkan Barbosa di dalam kotak penalti dan penyerang itu dengan tenang menjaringkan sepakan penalti ke tengah gawang.
Raphinha yang melengkapkan penampilan sulung berjaya menyumbang assist kedua untuk Antony menjaringkan gol dari jarak jauh pada akhir perlawanan. – AFP