Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Brazil bangkit daripada pandemik

    RIO DE JANEIRO, 27 FEB – Dengan perarakan bergemerlapan, kereta berhias yang menjulang tinggi dan samba berapi-api telah ditangguhkan akibat varian Omicron, Brazil akan mengadakan minggu karnival tetapi tanpa sebarang sambutan tahun ini, satu berita buruk untuk industri pelancongan yang sudah terjejas teruk oleh pandemik COVID-19.

    Dalam dunia tanpa COVID-19, minggu karnival dibanjiri dengan pelancong-pelancong yang melebihi daripada 2.1 juta pada tahun 2020 yang telah datang ke Rio de Janeiro untuk pesta jalanan percuma untuk semua dan perarakan sepanjang malam yang menakjubkan.

    Sebaliknya, pakar industri meramalkan Rio dan destinasi pelancongan lain mencatatkan kehadiran pelancong yang rendah dan kecil terutamanya warga Brazil yang melancong dalam negara.

    Perkara itu tambah menjejaskan industri pelancongan yang baru mula pulih daripada hampir runtuh pada tahun 2020.

    “Ia sangat traumatik,” kata Alexandre Sampaio, ketua persekutuan hotel dan restoran FBHA, memetik angka rasmi yang menunjukkan pendapatan industri pelancongan menjunam 35 peratus pada 2020.

    Seorang ahli sekolah samba Sao Clemente membuat persembahan semasa perarakan di Rio de Janeiro, Brazil. – AP

    Kelihatan orang ramai bergembira bersorak semasa acara “Pembukaan Karnival 2022”, di Rio de Janeiro, Brazil, 26 Februari. – AFP

    Industri tersebut dilihat kembali meningkat pada separuh masa kedua 2021, mencatatkan kenaikan sekitar 20 peratus.

    Minggu karnival masih akan menyaksikan konsert, pesta dan bola di Rio tetapi terhad kepada kapasiti 70 peratus, dengan keperluan vaksin dan pelitup muka.

    Walau bagaimanapun, varian Omicron telah menyebabkan pihak berkuasa terpaksa membatalkan karnival pesta jalanan untuk tahun kedua berturut-turut dan menangguhkan pertandingan kawad sekolah samba yang terkenal sehingga April nanti.

    “Kami akan melihat beberapa pendapatan” daripada perarakan yang dijadualkan semula, “tetapi ia tidak akan mencapai tahap pra-pandemik,” kata seorang ahli ekonomi di Konfederasi Perdagangan Barangan, Perkhidmatan dan Pelancongan (CNC), Fabio Bentes.

    Bentes meramalkan pendapatan minggu karnival satu pertiga di bawah paras pra-pandemik.

    Penyelidikannya menunjukkan industri pelancongan, yang menyumbang 7.7 peratus daripada ekonomi Brazil sebelum pandemik iaitu sebanyak AS$110 bilion dalam pendapatan langsung dan tidak langsung pada 2019 dan telah kehilangan AS$94.1 bilion dalam dua tahun lalu serta lebih daripada 340,000 pekerjaan.

    ‘Saranan pengembaraan’

    Brazil adalah sebuah destinasi yang dianggap sebagai bucket-list bagi kebanyakan orang, dengan hutan hujan Amazon, tanah lembap Pantanal, ibu kota kolonial Salvador yang penuh dengan warna-warni, air terjun Iguacu yang menakjubkan dan berbagai lagi yang mesti dilihat, apatah lagi Rio dan karnival.

    Tetapi negara itu telah dilanda teruk oleh pandemik COVID-19, dengan hampir 650,000 kematian dicatatkan iaitu negara kedua yang teruk terjejas selepas Amerika Syarikat (AS).

    Bilangan itu telah bertambah baik dengan lebih daripada 70 peratus penduduk kini telah diberi vaksin sepenuhnya.

    Tetapi ketibaan pengembara dilihat perlahan. Flavio Miranda sedang menunggu perniagaan di dasar gunung Corcovado, di mana patung ikonik Christ the Redeemer Rio merentangkan tangannya di ruang angkasa bandar itu.

    Miranda, seorang pemandu berusia 52 tahun dari favela berdekatan, memberikan khidmat dalam membuat lawatan ke pelbagai tempat tarikan di bandar tersebut.

    Dia menghabiskan lapan bulan tanpa kerja apabila pandemik tersebut melanda, bergantung pada pemberian makanan untuk menyara keluarganya.

    Pelancong “kembali, tetapi perlahan,” katanya kepada AFP, sambil berkata pendapatannya turun kira-kira 80 peratus. “Dulu tempat ini penuh dengan pelancong. Sekarang hampir tidak ada,” tambahnya.

    Miguel Viana yang berada berdekatan, seorang jurutera berusia 27 tahun yang bercuti dari Portugal sedang dalam perjalanan untuk melawat patung tersebut.

    “Seruan untuk kembara lebih kuat daripada pandemik COVID-19,” katanya sambil ketawa. Tetapi dia adalah antara segelintir orang.

    Jumlah pelancong antarabangsa kekal hanya lima hingga tujuh peratus daripada tahap pra-pandemik, menurut anggaran Sampaio.

    Pelancongan tempatan

    Para pakar berkata kemerosotan pelancong asing telah diimbangi sebahagiannya oleh lebih ramai rakyat Brazil yang melancong ke dalam negara, mereka sendiri berhati-hati untuk membuat perjalanan ke luar negara.

    “Kami biasanya melancong ke luar negara. Tetapi kami telah terpencil sekian lama, kami mahu memulakan perjalanan semula. Jadi kami memutuskan untuk memulakan dengan Brazil,” kata Maria Augusta Rosa, 40, seorang penjawat awam dari pusat bandar Goiania yang bercuti di Rio.

    Para pakar juga meramalkan pemulihan sepenuhnya untuk sektor pelancongan Brazil hanya pada 2023 nanti jika tiada lagi kejutan yang tidak menyenangkan untuk sementara waktu.

    Di Manaus, “ibu kota Amazon,” pengendali pelancongan Perancis,
    Remy Harbonnier, yang pakar dalam hutan hujan dan pelayaran sungai, berkata bilangan pelanggan dan hasil di syarikatnya, Heliconia, kekal sekitar 80 peratus daripada tahap pra-pandemik.

    Dia berharap untuk mengurangkannya kepada 50 peratus tahun ini, katanya. Tetapi itu akan bergantung pada perkara yang akan terjadi.

    “Sekarang kami bimbang tentang keadaan di Ukraine. Ia agak menakutkan,” katanya.

    “Kami hanya cuba meyakinkan diri sendiri, kami telah melalui dua tahun cengkaman COVID-19, kami juga akan akan dapat mengharungi konflik bersenjata di Eropah ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...