Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brazil batal bidaan lombong rizab simpanan Amazon

    BRASILIA, 26 Sept – Kerajaan Brazil menarik diri daripada cadangan kontroversi untuk membenarkan syarikat swasta untuk melombong kawasan simpanan Amazon semalam selepas menerima kritikan dari dalam dan luar negara.

    Pejabat Presiden Michel Temer akan mengeluarkan satu arahan hari ini yang “memulihkan keadaan kawasan tersebut, menurut dokumen yang menubuhkan kawasan simpanan pada 1984,” kata Kementerian Perlombongan dan Tenaga dalam satu kenyataan.

    Pada minggu lalu, kumpulan aktivis alam sekitar Greenpeace berkata sekurang-kurangnya 14 lombong haram dan lapan kawasan tanah rahsia telah pun digunakan oleh pelombong di kawasan simpanan sebesar saiz Belanda yang dikenali sebagai Renca di timur Amazon.

    Greenpeace berkata ini menunjukkan risiko yang dihadapi oleh Renca walaupun tanpa cadangan awal Temer untuk menamatkan pengharaman ke atas perlombongan asing secara besar-besaran di rantau yang kaya dengan galian.

    Arahan Temer yang ditandatangani pada 25 Ogos mengenai pembukaan Renca, kaya dengan emas, mangan, besi dan tembaga, digantung beberapa hari kemudian selepas menerima bantahan antarabangsa.

    Presiden telah berkata pembatalan sekatan akan membenarkan Brazil merangsang ekonominya yang sedang bergelut dan juga mendesak operasi perlombongan haram jatuh muflis.

    Dalam mengumumkan kerajaan sedang menarik balik arahan tersebut, kementerian perlombongan menegaskan keadaan yang membawa kepada tindakan yang diambil pertama sekali “masih wujud.”

    “Negara perlu berkembang dan menghasilkan pekerjaan, menarik pelaburan untuk sektor perlombongan, termasuk mengeksploitasi potensi ekonomi rantau,” tambahnya.

    Hutan hujan itu mempunyai banyak komoditi berharga namun telah dilindungi berdekad-dekad lamanya daripada industri swasta dan menjadi tempat tinggal kepada beberapa puak asli.

    Pengkritik arahan Temer termasuk kumpulan alam sekitar antarabangsa, Gereja Katolik dan supermodel Gisele Bundchen, yang merupakan seorang warga Brazil.

    Kawasan simpanan Renca menjadi tempat tinggal kepada puak asli Aparai, Wayana dan Wajapi dan sebahagian besar hutan asli, merangkumi keluasan lebih daripada 17,800 batu persegi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda