Brazil catat lebih 40,000 kes harian

RIO DE JANEIRO, 25 JUN – Brazil mencatatkan 42,725 kes COVID-19 dalam tempoh 24 jam terakhir, kata kementerian kesihatan semalam, ketika pakar memperingatkan negara itu menamatkan perintah sekatan terlalu awal.

Brazil, yang mencatatkan kematian yang tinggi akibat pandemik itu berbanding negara lain kecuali Amerika Syarikat (AS), juga melaporkan 1,185 kematian dalam 24 jam terakhir, menjadikan jumlah kematian keseluruhannya 53,830.

Peningkatan jumlah jangkitan itu adalah yang kedua tertinggi dalam sehari di Brazil sejak bermulanya wabak itu.

Bagaimanapun, pegawai berkata catatan – 54,771 kes, pada 19 Jun – disebabkan oleh tunggakan sistem pelaporan yang menyebabkan laporan tidak dilaporkan pada hari-hari sebelumnya.

Brazil kini mempunyai hampir 1.2 juta kes jangkitan.

Gambar fail menunjukkan kawasan membeli-belah yang kosong di Sao Paulo, Brazil selepas negara itu mengenakan sekatan untuk menutup semua kedai bagi mengekang penularan COVID-19. Menurut kementerian kesihatan negara itu, Brazil kini mencatatkan 42,725 kes COVID-19 dalam tempoh 24 jam terakhir. – AFP

Pakar berkata, kekurangan jumlah ujian di negara yang memiliki penduduk seramai 212 juta orang itu bermakna jumlah sebenar pesakit mungkin jauh lebih tinggi.

Ketua penyakit berjangkit Pan American Health Organisation, Marcos Espinal, semalam mendesak Brazil supaya melakukan lebih banyak ujian.

Kementerian kesihatan kemudian mengatakan pihaknya akan mula menguji 100 peratus, malah termasuk kes ringan dalam sistem kesihatan awam.

Walaupun terdapat peningkatan dalam jangkitan dan kematian, banyak negeri di Brazil meneruskan rancangan untuk membuka kembali ekonomi mereka selepas berbulan-bulan mematuhi perintah untuk sentiasa berada di rumah untuk membendung penularan virus.

Namun, ramai pakar memberi amaran bahawa ia terlalu awal.

“Kami menghantar orang ke rumah sembelih,” kata Domingos Alves, seorang profesor perubatan di Universiti Sao Paulo dan anggota jawatankuasa ilmiah yang memantau krisis COVID-19 di Brazil.

“Lengkungan penularan COVID-19 di Brazil masih meningkat dengan pantas. Kami masih dalam gelombang pertama.”

Brazil bergelut untuk mengatur strategi bagi menangani pandemik terbabit. – AFP