Brazil hasilkan penawar bisa ular

SAO PAULO, 10 DIS – Menggenggam ular di belakang rahangnya, Fabiola de Souza mengurut kelenjar bisanya untuk mengeluarkan titisan yang akan menyelamat nyawa di seluruh Brazil di mana ribuan orang digigit setiap tahun.

De Souza dan rakan sekerjanya di Institut Butantan di Sao Paulo mengeluarkan bisa daripada beratus ular yang dikurung untuk menghasilkan penawar bisa ular.

Ia diedarkan oleh kemen-terian kesihatan ke pusat perubatan di seluruh negara.
Berpuluh-puluh spesies ular beracun, termasuk jararaca, hidup dengan baik dalam iklim panas dan lembap di Brazil.

Hampir 29,000 orang digigit pada 2018 dan lebih daripada 100 orang maut, angka rasmi menunjukkan.

Negeri dengan kadar gigitan ular tertinggi adalah di lembangan terpencil Amazon di mana ia boleh mengambil masa beberapa jam untuk sampai ke hospital yang mempunyai stok penawar.

Seorang pakar mengeluarkan bisa daripada ular orok-orok di Institut Butantan, yang membekal bisa ular kepada Kementerian Kesihatan untuk diedarkan di seluruh negara di Sao Paulo, Brazil pada 12 November. – AFP

Bisa dikeluarkan daripada setiap ular sekali sebulan dalam proses yang amat berisiko. Menggunakan kayu bercangkuk, de Souza dengan teliti mengeluarkan seekor ular daripada kotak plastik dan memasukkannya ke dalam tong berisi karbon dioksida.

Haiwan reptilia itu akan tidur dalam beberapa minit.

“Ia kurang stres untuk haiwan berkenaan,” jelas de Souza.

Ular itu seterusnya diletakkan di atas bangku keluli tahan karat dalam bilik di mana suhu mencecah 27 darjah Celsius. De Souza mempunyai masa beberapa minit untuk mengeluarkan bisa sebelum ular itu bangun.

Selepas mengeluarkan bisa ular, de Souza mencatat berat dan panjang ular sebelum meletakkannya semula dalam kontena.

Penawar itu dihasilkan dengan menyuntik dos kecil racun ke dalam kuda, dikurung oleh Butantan di sebuah ladang, untuk mencetuskan respons imun yang menghasilkan antibodi anti-toksin.

Darah dikeluarkan seterusnya daripada kuda dan antibodi digunakan untuk menghasil serum yang akan diberikan kepada mangsa gigitan ular. – AFP