Brazil lancar tender bina rangkaian 5G terbesar

BRASILIA, 5 NOV – Brazil membuka tender antarabangsa semalam untuk membina salah satu rangkaian data 5G terbesar di dunia, berusaha mendapatkan pelaburan bernilai AS$9 bilion untuk ekonomi terbesar Amerika Latin itu.

Menggelarnya saat ‘bersejarah’, Presiden Jair Bolsonaro membuka tender di Brasilia dengan aksi simbolik memukul tukul pelelong, justeru melancarkan bidaan oleh 15 syarikat yang dikatakan oleh pegawai mungkin berlangsung sehingga hari ini.

Jumlah keseluruhan yang dikumpul akan diumumkan pada hari ini pada akhir tender, tetapi Menteri Komunikasi Fabio Faria berkata angka telah pun mencecah 43.7 bilion reais (AS$7.9 bilion) lewat semalam.

“Hari pertama tender adalah satu kejayaan, ia melebihi jangkaan,” tulis Faria di Twitter.

Negara Amerika Selatan itu menimbang menggunakan teknologi peranti generasi kelima untuk mempercepat pembangunan sektor perindustrian dan agriperniagaannya, serta membawa internet berkelajuan tinggi kepada telefon bimbit 213 juta penduduknya.

Tender itu adalah untuk mendapatkan hak membina dan mengendali ‘blok’ spektrum frekuensi berlainan selama 20 tahun, serta rangkaian berasingan yang dikhaskan untuk komunikasi kerajaan.

Pelaburan datang daripada beberapa pembida, antaranya subsidiari tempatan Telecom Italia, Tim; kumpulan Sepanyol unit Brazil, Telefonica; dan Claro, milik jutawan telekom Mexico Carlos Slim, America Movil.

“Ia adalah salah satu tender 5G terbesar di dunia. Potensinya amat besar,” beritahu pakar industri Christian Perrone daripada Institut Teknologi dan Masyarakat di Rio de Janeiro kepada AFP.

Teknologi 5G memerlukan empat hingga 10 kali lebih banyak antena daripada 4G. Syarat-syarat bidaan mewajibkan syarikat melancarkan perkhidmatan di Brasilia dan 26 ibu negeri pada Ogos 2022. – AFP

Wakil syarikat telekomunikasi menghadiri pelelongan infrastruktur jalur telefon bimbit 5G di Agensi Telekomunikasi Nasional di Brasilia, Brazil pada 4 November 2021. – AFP