Brazil laung amaran

LOS ANGELES, 10 JUN – Philippe Coutinho membantu persiapan Brazil tanpa Neymar menjelang Copa America dengan membelasah Honduras, yang bermain 10 orang, 7-0 di Porto Alegre.

Bintang Paris St. Germain itu akan terlepas kejohanan di tanah air sendiri yang menyingkap tirainya Jumaat ini selepas terseliuh buku lali ketika menentang Qatar Rabu lalu. Tetapi dengan pemain Barcelona, Coutinho melakukan umpanan dan menyempurnakan penalti serta Richarlison dan Gabriel Jesus turut menyerlah dengan merobek jaring Honduras, yang menyaksikan Romell Quito dilayangkan kad merah.

Jesus dan Richarlison, masing-masing turut menemui sasaran ketika menentang Qatar di Brasilia, sekali lagi tampil cemerlang di samping Coutinho bagi membuktikan Selecao masih mempunyai pilihan berbisa selain Neymar.

Brazil melakukan tiga pertukaran kepada skuad yang menewaskan Qatar – bintang Ajax David Neres dibawa masuk menggantikan Neymar manakala penjaga gol Liverpool Alisson Becker dan Thiago Silva dari PSG turut mengisi kesebelasan utama.

Juara dunia lima kali itu belum tewas dalam sembilan perlawanan sejak mara ke suku akhir Piala Dunia di Rusia tahun lalu.

Sementara itu Honduras, di bawah pengendali baharu Fabian Coito, berjaya mengikat Ecuador dan Paraguay sejak diberi nafas baharu pada Februari.

Cabaran untuk Brazil kini ialah mengekalkan rentak persembahan mereka berbanding memperlahankannya seperti ketika bertemu Qatar.

Masalah kecederaan bagaimanapun terus menghantui Brazil apabila Arthur, pemain tengah Barcelona, terpaksa dikeluarkan pada minit ke-31 selepas dikasari Quioto yang terus dilayangkan kad merah.

Kempen Copa America Brazil akan bermula pada 14 Jun menentang Bolivia. – AFP

Coutinho (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya dalam perlawanan menentang Honduras di Stadium Beira Rio di Porto Alegre awal kelmarin. – AFP