Brazil lebih dominan

MOSCOW, 28 Jun – Brazil mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas menewaskan Serbia 2-0 awal pagi tadi, dengan bintang Paris Saint-Germain, Neymar, bermain cemerlang dalam kemenangan itu, sekali gus menempah aksi seterusnya menentang Mexico.

Paulinho memberikan Brazil pendahuluan dengan satu penyudah menarik pada minit ke-36 sebelum Neymar memberikan hantaran lintang yang ditanduk masuk oleh Thiago Silva bagi gol kedua Brazil ketika perlawanan berbaki 22 minit di Moscow.

Setelah membuka akaun jaringan di Rusia dengan jaringan kedua masa kecederaan dalam kemenangan 2-0 ke atas Costa Rica minggu lalu, Neymar sekali lagi mempamerkan ketajamannya.

Selepas penuh emosi di Saint Petersburg, Neymar menunjukkan wajah lebih ceria selepas kemenangan ini, melambai-lambai ke arah para penyokong semasa juara lima kali itu meraikan kemaraan mereka.

Sebagai pemenang Kumpulan E, Brazil akan menghadapi Mexico di Samara Isnin depan, sementara pemenang kedua kumpulan, Switzerland berdepan dengan Sweden di St Petersburg pada keesokan harinya.

Paulinho (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukannya, bagi meletakkan Brazil di depan ketika menentang Serbia. – AP

Sebelum perlawanan awal pagi tadi, jurulatih Brazil, Tite berkata Neymar seorang tidak boleh ‘menanggung semua tanggungjawab’ bagi harapan Piala Dunia pasukannya.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu kelihatan tenang menerajui serangan Brazil, memecah barisan tengah Serbia dan melepaskan rembatan yang tersasar.

Perlawanan di Stadium Spartak Moscow itu bermula dengan tempo tinggi dan pemain pertahanan Brazil, Marcelo, menjadi mangsa awal perlawanan, berjalan tempang hanya selepas 10 minit dan digantikan oleh Felipe Luis.

Neymar mempunyai peluang terbaik di setengah jam awal apabila dia memaksa penjaga gol Serbia, Vladimir Stojkovic, menolak keluar rembatannya.

Perlawanan semakin hangat apabila pemain tengah Serbia, Adem Ljajic mengasari Neymar, sekali gus dilayangkan kad kuning pada minit ke-33.

Brazil menghasilkan gol pembukaan secara tiba-tiba apabila satu hantaran menarik Philippe Coutinho menemui Paulinho, yang melambungkan bola melepasi jangkaun Stojkovic pada minit ke-36 untuk menjadikan kedudukan 1-0 sebelum rehat.

Brazil memastikan kemenangan mereka pada minit ke-68 apabila satu hantaran Neymar menemui rakan sepasukannya di PSG, Thiago, yang membuat tandukan menewaskan Stojkovic. – AFP