Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Brazil rasmi muzium paulista sempena kemerdekaan ke-200

    SAU PAULO – Sebuah muzium paling popular di Brazil telah dibuka semula selepas hampir satu dekad menjalani pengubahsuaian, sebagai salah satu sambutan perayaan hari kemerdekaan dua abad negara itu.

    Muzium Paulista terletak di tengah-tengah kawasan Taman Kemerdekaan Sao Paulo yang dijaga dengan rapi. Muzium itu menyimpan lebih daripada 3,000 buah artifak termasuk 2,800 yang telah dipulihkan sejak ditutup pada tahun 2013 terdiri daripada dokumen bersejarah, lukisan, barangan rumah dan memorabilia.

    Dikenali oleh orang Brazil sebagai Muzium Ipiranga, ia diasaskan pada tahun 1895 di sebelah anak sungai tempat Maharaja Pedro I mengisytiharkan kemerdekaan negara daripada jajahan Portugal.

    Kerja pengubahsuaian itu menelan perbelanjaan kira-kira AS$40 juta dan menjadikan muzium itu boleh diakses sepenuhnya oleh orang kelainan upaya, memulihkan bahagian hadapan bangunan dan menggandakan kawasan asal pembinaannya.

    Pemasangan sistem penghawa dingin baharu juga antara salah satu kerja pengubahsuaian bagi membolehkan koleksi baharu barangan seni dipamerkan kepada orang ramai.

    Lukisan ‘Kemerdekaan atau Kematian’ oleh artis Brazil Pedro Americo dipamerkan di Muzium Paulista. – AP
    Rama-rama dan haiwan lain dipamerkan di Muzium Paulista. – AP
    Pemandangan Muzium Paulista, yang dikenali oleh orang Brazil sebagai Muzium Ipiranga di Sao Paulo, Brazil. – AP
    Pelbagai jenis seni dipamerkan di Muzium Paulista di Sao Paulo, Brazil. – AP
    Jantung bekas maharaja Brazil, Dom Pedro I yang diawet dan dipamerkan dalam bekas kaca formalin. – AP

    Kurator dan pengarah dari Universiti Sao Paulo yang juga merupakan pentadbir muzium tersebut, menjangkakan kira-kira 1 juta pelawat dalam tempoh 12 bulan akan datang.

    Muzium ini akan dibuka semula kepada orang ramai pada 8 September, iaitu sehari selepas Hari kemerdekaan negara.

    Sebuah rumah di atas bukit kecil di taman juga menyimpan beberapa memorabilia kemerdekaan. Casa do Grito (House of the Cry) didakwa terletak di tempat yang tepat di mana Pedro I menjerit “Kemerdekaan atau Kematian!” kepada penyokongnya.

    Pedro I dikebumikan di pinggir selatan taman itu, manakala jantungnya disimpan dalam bekas kaca formalin di Gereja Our Lady of Lapa di Porto, Portugis. Jantung itu dibawa ke Brazil secara pinjaman sebagai sebahagian daripada perayaan kemerdekaan dua abad negara itu dan akan dipamerkan kepada orang ramai.

    “Pada asalnya, tapak ini bukan dibina untuk Muzium Paulista, sebaliknya ia sepatutnya menjadi monumen untuk kemerdekaan Brazil,” kurator Solange Ferraz de Lima memberitahu wartawan semasa lawatan pra-pembukaan. Muzium ini jauh dari bandar, tetapi kemudian dibina juga sebuah muzium.”

    Bilik yang paling kerap dikunjungi di muzium itu menampilkan sebuah potret “Kemerdekaan atau Kematian,” lukisan oleh Pedro Américo yang bertarikh 1888 iaitu setahun sebelum Brazil menjadi sebuah republik.

    Muzium Negara Rio de Janeiro, yang menyimpan koleksi artifak sejarah terbesar di Amerika Latin, mempunyai penampilan baharu selepas satu kejadian kebakaran yang hampir memusnahkan sepenuhnya pada 2018. Siaran harian Brazil O Globo melaporkan pembinaan semula tapak itu akan siap pada tahun 2026. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...