BRASILIA, 20 APRIL – Brazil membuat pengumuman akan menarik balik langkah darurat kesihatan awam yang dilaksanakan di negara itu selama lebih dua tahun, selepas angka kematian dan jangkitan sudah mula menurun.
Lebih 660,000 orang meninggal dunia akibat virus itu di Brazil, yang juga antara negara yang teruk dilanda wabak berkenaan, iaitu kedua paling terjejas di dunia selepas Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, angka jangkitan dan kematian menurun secara mendadak menerusi usaha kerajaan mempertingkatkan imunisasi, di mana kira-kira 75 peratus daripada 212 juta penduduknya sudah menerima vaksin penuh.
Menteri Kesihatan, Marcelo Queiroga berkata darurat keselamatan awam yang diisytiharkan pada 3 Februari 2020, akan berakhir tidak lama lagi.
“Kami mempunyai beberapa syarat untuk mengumumkan tamatnya darurat kesihatan.
“Bagaimanapun, pengumuman akan dilakukan menerusi pewartaan dalam beberapa hari lagi.
“Namun, ini tidak bermaksud COVID sudah tamat, kita akan terus hidup dengan virus,” katanya.
Awal bulan ini, Brazil turut melonggarkan sekatan bagi pengunjung antarabangsa dengan membatalkan kuarantin 14 hari bagi pelancong luar yang sudah divaksin.
Keputusan membatalkan darurat kesihatan awam dibuat selepas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, yang kerap memandang remeh koronavirus dengan menyifatkannya sebagai ‘masalah selesema yang kecil’, beberapa minggu lalu mengarahkan menteri menyediakan warta menamatkan pandemik dan kembali kepada kehidupan biasa. – AFP