BRC Help Desk kini ada sembilan talian aktif

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam memaklumkan bahawa perkhidmatan hotline menerusi BRC Help Desk COVID-19 kini mempunyai sembilan talian aktif dan bermula hari ini, ia akan beroperasi setiap hari dari 6 pagi hingga 10 malam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, PBSM Brunei Darussalam menyarankan orang ramai untuk menghubungi nombor talian hotline mengikut keperluan seperti untuk perkhidmatan sokongan dan isu teknikal BruHealth, orang ramai hendaklah membuat panggilan kepada lima talian yang disediakan iaitu 8260420, 8260430, 8260450, 8260460 dan 8260590.

Manakala itu, untuk perkhidmatan sokongan dan masalah yang berhubung kait dengan Talian Nasihat Kesihatan 148 hendaklah menggunakan empat talian iaitu 8260320, 8260360, 8260370 dan 8260390.

BRC Help Desk disediakan untuk membantu Kementerian Kesihatan dalam menyampaikan sebarang kemusykilan, pertanyaan, isu dan masalah yang dihadapi oleh orang ramai berkaitan BruHealth dan Talian Nasihat Kesihatan 148.

Semua talian tersebut diaktifkan dengan sokongan Progresif Sdn Bhd sebagai rakan korporat yang bekerjasama dengan PBSM Negara Brunei Darussalam.

Kenyataan menyatakan, persatuan tersebut akan lebih proaktif dan berusaha sebaik mungkin untuk melayani semua panggilan, menjawab khidmat pesanan ringkas (SMS) dan memberi respons kepada panggilan, chat dan teks yang dikirim menerusi aplikasi WhatsApp pada setiap masa.

Sehubungan itu, orang ramai di minta untuk memberikan kerjasama dan bersabar kerana setiap hari BRC Help Desk menerima lebih 1,000 panggilan dan pesanan.

Untuk perkhidmatan bantuan Pusat Operasi COVID-19 persatuan berkenaan, bagi pelbagai perkhidmatan kecemasan, kebajikan dan kemaslahatan, orang ramai bolehlah menghubungi talian 8260380 bermula pukul 8:30 pagi hingga 5:30 petang sahaja.