Breakdance di Olimpik Paris 2024

PARIS, 21 Feb – Breakdance bakal dipertandingkan buat kali pertama sebagai sukan Olimpik di Paris 2024, kata ketua penguasa penganjur tempatan hari ini.

Selain breakdance, tiga sukan iaitu papan selaju (skate board), sport climbing dan luncur air, yang telah dimasukkan pada kejohanan untuk Sukan Olimpik di Tokyo pada 2020, bakal dipertandingkan juga di Paris empat tahun kemudian.

Tony Estanguet, ketua jawatankuasa penganjur Paris 2024, berkata kemasukan keempat-empat sukan itu memenuhi keperluan untuk membuat Olimpik ‘lebih banyak pembangunan’.

“Ini merupakan langkah utama dalam cita-cita kami untuk menganjurkan Sukan Olimpik yang unik,” kata Estanguet.

“Dari awal, matlamat kami adalah untuk menawarkan kejohanan yang akan memberi impak dan unsur kejutan.

Gambar fail pada 21 November 2010 menunjukkan kru Mortal Kombat dari jepun beraksi dalam Pertandingan Antarabangsa Breakdance di Montpellier. – AFP

“Inilah sebabnya kami memilih untuk membentangkan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dengan empat sukan yang kreatif dan hebat, yang ditujukan kepada belia dan sejajar dengan visi kami.

“Mereka mencerminkan identiti Paris 2024 yang sempurna.”

Pilihan keempat-empat sukan itu masih memerlukan kebenaran IOC.

Breakdance muncul pada Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, dalam bentuk ‘perlawanan’.

IOC telah mengumumkan bahawa bilangan pesaing pada 2024 akan dihadkan kepada 10,500, yang membatasi skop untuk memasukkan sukan tambahan tersebut.

Tetapi pihak penganjur mengatakan bahawa kemasukan sukan baharu tersebut tidak akan memerlukan pembinaan kemudahan tetap dan akan terdiri daripada hanya 248 pesaing, yang mana 32 orang yang akan mempersembahkan breakdance. – AFP