Breazeale lawan KO ke-40 Deontay

NEW YORK, 19 Mei – Deontay Wilder yang belum pernah tewas menumbangkan Dominic Breazeale dengan kejam pada pusingan pertama pertarungan penuh dendam malam tadi untuk mengekalkan talipinggang Majlis Tinju Dunia (WBC).

Wilder dengan tumbukan paling dahsyat dalam sejarah heavyweight, menumbangkan pencabarnya dengan satu tumbukan padu ketika pertarungan pusingan pertama di Barclays Center berbaki 43 saat.

Pakar pukulan knockout yang bermegah-megah itu menyerang Breazeale sejak dari loceng permulaan, menyelesaikan pertarungan dengan tumbukan dahsyat ke dagu lawannya yang dimulakan dengan jab kiri.

“Apabila saya mula menumbuknya dengan tangan kanan, bahasa badannya berubah,” kata Wilder. “Apabila anda berada di sana dengan ramai lawan yang berbeza, anda belajar mengenali bahasa badan. Saya tahu dia mula perlahan dan terbuka.”

Breazeale yang hampir gagal mendaratkan pukulan menyaksikan usaha bertahannya hanya mengundang pukulan knockout. Dia tumbang dan terbaring kaku seketika sebelum bangun pada kiraan 10 tetapi pengadil mendakapnya yang sudah hilang keseimbangan.

Tumbukan padu Deontay (kanan) menumbangkan Breazeale 43 saat sebelum pusingan pertama tamat, kelmarin. – AP

Dalam kemenangan berat sebelah itu, Wilder yang benar-benar fokus mempamerkan kepantasan tangan yang unggul dengan gerak balas serta kekuatan tumbukan.

Wilder, 33, menambah rekodnya kepada 41-0-1 dengan 40 KO dan menumbangkan Breazeale merupakan kejayaannya yang kesembilan dalam mempertahankan gelaran. Breazeale yang tewas sekali kepada Anthony Joshua sebelum ini, jatuh rekod kepada 20-2 dengan 18 KO.

Pertarungan kedua-dua petinju berkenaan sebelum ini telah dibayangi beberapa ancaman mengerikan dari Wilder yang menyatakan kesediaan untuk ‘menghadiahkan’ kematian di gelanggang kepada Breazeale.

Komen Wilder telah mengejutkan ramai pihak dalam tinju sehingga menjuruskan presiden WBC Mauricio Sulaiman menggesa komen sedemikian wajar diberi perhatian serius.

Selepas pertarungan, Wilder sudah menampakkan kekenduran dalam komennya sambil berkata, “Semuanya sudah terluah. Ada peningkatan besar dalam pertarungan ini. Banyak rasa marah, huru-hara dan kebencian. Itulah yang menjadikan tinju itu sukan yang hebat.” – AFP