LONDON, 20 OKT – Graham Potter mempertahankan keputusannya untuk merehatkan Pierre-Emerick Aubameyang ketika seri 0-0 menentang Brentford dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Walaupun skuad kendalian Potter itu tidak berjaya mendapatkan enam kemenangan berturut-turut dalam semua perlawanan, tetapi sekurang-kurangnya mereka kekal tanpa kalah dalam tujuh perlawanan. Chelsea yang kini menghuni tangga keempat liga, juga belum dibolosi dalam lima perlawanan terakhir mereka.
Potter melakukan lima pertukaran ke atas skuad yang menewaskan Aston Villa 2-0, dengan bekas penyerang Barcelona, Aubameyang bermula di bangku simpanan walaupun bintang Gabon itu menjaringkan tiga gol dalam lima penampilan terakhirnya. Dia akhirnya dimasukkan ketika permainan berbaki sembilan minit, namun ia terlalu singkat untuk membawa perubahan.
“Saya tahu apa sebabnya. Dia sudah kerap bermain dan ia memberikan Kai Havertz peluang untuk beraksi. Ya, saya faham soalan itu,” kata Potter.
“Bagi saya, satu mata adalah keputusan yang adil. Mereka mempunyai peluang dan kami juga mempunyai peluang. Kami terus mengasak hingga akhir permainan tetapi mereka terus bertahan.” kata Potter.
“Apa yang positif ialah kami kekal tidak dibolosi dan mendapat satu mata. Empat mata daripada dua perlawanan di tempat lawan adalah sesuatu yang positif dan kita perlu terus berusaha.” kata Potter. – AFP