Brexit: Usul May ditolak lagi

LONDON, 13 Mac – Perdana Menteri Britain Theresa May sekali berdepan kekalahan teruk di Parlimen semalam, selepas usul perjanjian Brexit pindaannya ditolak oleh Dewan Rakyat apabila 391 anggota parlimen mengundi untuk menentang berbanding 242 menyokong.

Kesal dengan keputusan itu, yang menyaksikan anggota partinya sendiri mengundi untuk menentang usul tersebut, May berkata beliau yakin perjanjian pindaan yang diusulkan adalah yang terbaik dan satu-satunya pilihan yang ada.

“Saya masih yakin bahawa keputusan terbaik setakat ini ialah United Kingdom meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) secara teratur dengan satu perjanjian,” katanya selepas pengundian.

Pengundian penting itu, yang berlaku beberapa hari sebelum UK dijadualkan keluar daripada EU, telah menimbulkan lebih banyak ketidakpastian tentang bagaimana negara tersebut akan meninggalkan Kesatuan Eropah.

May bagaimanapun mengulangi komitmennya untuk meneliti langkah-langkah yang perlu diambil sebelum Brexit – jika ada atau sebaliknya.

“Dua minggu lepas, saya membuat beberapa komitmen berhubung langkah-langkah yang akan kita ambil sekiranya Dewan ini menolak usul yang dibentangkan. Saya berpegang teguh pada komitmen itu sepenuhnya,” kata beliau ketika membaca satu kenyataan yang telah disediakan.

“Oleh itu, malam ini kita akan membentangkan satu usul untuk perdebatan esok bagi menguji sama ada Dewan ini menyokong langkah meninggalkan Kesatuan Eropah tanpa sebarang perjanjian pada 29 Mac.

“Ini adalah satu isu yang amat penting untuk masa depan negara kita. Sama seperti referendum, terdapat pandangan yang tegas dan sah di sisi undang-undang daripada kedua-dua pihak. Atas sebab itu, saya boleh mengesahkan bahawa ia akan menjadi satu undian bebas di Dewan ini.”

Beliau mengesahkan bahawa usul itu akan menyatakan: “Bahawa Dewan ini menolak untuk meluluskan langkah meninggalkan Kesatuan Eropah tanpa sebarang Perjanjian Keluar dan Rangka Kerja mengenai Hubungan Masa Depan pada 29 Mac 2019; dan sila ambil maklum bahawa keluar tanpa sebarang perjanjian kekal sebagai kemungkiran dalam undang-undang UK dan EU melainkan Dewan ini dan EU meratifikasi satu perjanjian.” – Bernama

Theresa May ketika bercakap di hadapan ahli parlimen di London, kelmarin. – AP