KUALA LUMPUR, 30 April – Malaysia menjadi penerima manfaat utama daripada modal China dengan pelaburan berjumlah AS$43.8 bilion ($AS1=RM4.131) bagi tempoh 10 tahun lepas, menurut laporan Knight Frank’s New Frontiers: Prospects for Real Estate Along the Belt and Road Initiative yang dikeluarkan baru-baru ini.
Dalam kenyataan hari ini, Knight Frank berkata laporan itu bertujuan untuk membantu pelabur dan penghuni memahami potensi yang boleh dijana melangkaui sempadan Inisiatif Jalur dan Jalan China (BRI). Mengulas impak BRI terhadap Malaysia, Allan Sim, pengarah eksekutif pasaran modal Knight Frank Malaysia berkata lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China baru-baru ini telah meningkatkan keyakinan pelabur China untuk kembali melabur ke Malaysia.
“Berikutan perubahan kerajaan pada Mei 2018, sejumlah pelaburan dan projek China, terutamanya projek infrastruktur mega telah ditangguhkan.
“Bagaimanapun, kehadiran perdana menteri dan wakil perniagaan Malaysia pada Forum Inisiatif Jalur dan Jalan bagi Kerjasama Antarabangsa yang baru berakhir, ditambah dengan hasrat beliau untuk mempercepatkan penubuhan pusat sehenti untuk memudahkan kelulusan berkaitan pelaburan asing, telah memberi jaminan dan keyakinan kepada firma China menimbangkan semula untuk melabur di Malaysia,” katanya. Lagipun, Sim berkata dengan penyambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia, firma China pastinya akan melihat semula Malaysia dengan lebih serius, dengan segmen perindustrian akan mendapat manfaat paling banyak.
“Ini khususnya, kami menjangkakan lebih banyak kilang berteknologi tinggi dari China akan beroperasi di Malaysia, memanfaatkan bekalan bahan mentah Malaysia yang mencukupi, lebih-lebih lagi dengan kos operasi menjalankan perniagaan lebih rendah. – Bernama