BRI, pemacu pemulihan ekonomi dunia

BEIJING, 9 OGOS – Jumlah import dan eksport China ke negara-negara yang terlibat dalam ‘Inisiatif Jalur dan Laluan’ (BRI) dicatatkan sebanyak RMB6.3 trilion (RM4.09 trilion) dalam tempoh tujuh bulan lalu.

Menurut Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC), jumlah tersebut menyaksikan peningkatan 25.5 peratus berbanding tempoh sama tahun 2020.

Kerjasama BRI ini dipercayai dapat menggalakkan komunikasi dan pertukaran dunia, di samping memberi dorongan kuat kepada pemulihan ekonomi global semasa.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Komprehensif Kementerian Perdagangan China, Guo Tingting berkata, kerjasama antara China dengan negara-negara BRI sedang berlangsung pesat dan stabil pada separuh pertama tahun ini.

Jelasnya, setakat ini, sejumlah 71 perusahaan telah berdaftar di Taman Perindustrian China-Belarus (Great stone), projek-projek lain termasuk HSR Jakarta-Bandung, Landasan Kereta Api Hungary-Serbia, dan Hab Colombo yang telah mencapai kemajuan positif.

Tambah Guo, sejumlah 140 negara telah menandatangani kontrak kerjasama BRI dengan China, dan mendapat peluang dan kepentingan besar dalam lapan tahun kebelakangan ini.

Jumlah dagangan antara China dengan rakan-rakan BRI melebihi AS$9.2 trilion (RM38.7 trilion), manakala pelaburan langsung perusahaan China di negara yang berkenaan melebihi AS$130 bilion (RM548 bilion).

Bekas Setiausaha Perdagangan Asing Brazil, Tatiana Lacerda Prazeres berkata, BRI penting terhadap pemulihan ekonomi ketika ini.

Katanya, BRI dapat memacu pembangunan ekonomi, sementara pelaburan dalam infrastruktur dan kesalinghubungan dapat membantu pelbagai negara pulih daripada wabak COVID-19. – Bernama