MANCHESTER, UNITED KINGDOM, 8 OGOS – Erik ten Hag berkata kehadiran Cristiano Ronaldo mampu mempertingkat prestasi Manchester United selepas permulaan yang lembap kepada pengendaliannya sebagai jurulatih ketika Brighton mencatat kemenangan pertama mereka di Old Trafford dengan kemenangan 2-1 semalam.
Sebarang harapan untuk mencatat permulaan baharu untuk United selepas musim 2021/22 yang suram hancur lebur dalam masa 45 minit apabila Pascal Gross meledak gol dua kali untuk meletakkan pasukan Seagulls di depan.
Ten Hag berkata dia tidak mempunyai tanggapan yang mengelirukan mengenai tahap kesukaran yang bakal menantinya.
“Saya sedar sebelum ini, permainan yang dipamerkan tidak berubah. Ia adalah satu prestasi yang amat teruk. Kami perlu bekerja keras, menganalisis dan seterusnya memperbaiki prestasi.
“Sudah tentu ia satu tamparan dan kekecewaan yang nyata. Saya tahu dari awal ia bukan mudah. Kami memberikan dua gol yang mudah dan ia tidak baik untuk pasukan kami,” kata ten Hag.
Harapan penyokong United ketika musim bermula untuk menyaksikan perubahan ternyata pudar, dengan kelab itu gagal melakukan pembelian meyakinkan dalam pasaran perpindahan dan aksi pembukaan adalah suram.
Ia jelas apabila melihat Scott Tominay dan Fred bergelut di bahagian tengah ketika United berhempas-pulas menentang pasukan bimbingan Graham Potter. Brighton mendahului selepas setengah jam aksi berlangsung apabila Leandro Trossard melakukan hantaran kepada bekas pemain United, Danny Welbeck yang melorongkan bola kepada Gross untuk memberikan gol pendahuluan.
Sembilan minit kemudian, Gross menggandakan jaringan, untuk jaringan keenamnya sepanjang karier melawan United, apabila David De Gea menampan rembatan Solly March sebelum ia disabar pemain Jerman itu. – AFP