Brighton mangsa pertama Chelsea

BRIGHTON, UNITED KINGDOM, 15 SEPT – Frank Lampard percaya Chelsea sudah bersedia menunjukkan keberkesanan perbelanjaan 200 juta pound apabila mereka memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 3-1 ke atas Brighton, di sini, hari ini.

Pengendali The Blues itu membelanjakan banyak wang untuk mendapatkan pemain baharu dan pulangan awal tampak meyakinkan.

Penyerang Jerman, Timo Werner, yang dibeli dengan harga 53 juta pound dari RB Leipzig, mendapatkan penalti yang disempurnakan Jorginho bagi meletakkan Chelsea di depan.

Kai Havertz, yang berhijrah dengan harga 70 juta pound dari Bayer Leverkusen, tidak begitu memberi impak tetapi Lampard yakin akan ada hari mendatang lebih baik daripada penyerang muda Jerman itu.

“Kepantasan Timo untuk mendapatkan penalti menunjukkan dia amat tajam dan mendatangkan ancaman sepanjang malam. Dia sangat banyak bergerak dan saya sukakan persembahannya,” kata Lampard.

“Dengan Kai juga kami dapat melihat banyak perkara. Untuk mendapatkan masa permainan hanya akan menjadikan mereka lebih bagus dan kedua-dua mereka akan menjadi pemain yang hebat untuk kelab ini.”

Penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga sekali lagi melakukan kesilapan apabila Leandro Trossard menyamakan kedudukan buat Brighton.

Namun sepakan kencang Reece James meletakkan Chelsea kembali di depan sebelum cubaan Kurt Zouma yang membias ke gawang mengesahkan mata penuh.

Kemenangan itu sudah pasti melegakan Lampard yang diletakkan harapan tinggi untuk mencabar gelaran liga selepas berbelanja mewah membeli pemain berprofil tinggi. – AFP

Aksi Jorginho ketika menjaringkan gol pertama pasukannya melalui sepakan penalti pada perlawanan menentang Brighton awal pagi kelmarin di Stadium Falmer, England. – AP