Britain bakal hasilkan superkomputer

LONDON, 14 Mac – Universiti Edinburgh Scotland, Britain memenangi pembiayaan sebanyak AS$104 juta untuk menghasilkan sebuah superkomputer yang mampu memproses kiraan sebanyak 10,000 trilion setiap saat, lapor agensi berita Xinhua.

Pembiayaan itu diumumkan Canselor Britain, Exchequer Philip Hammond pada majlis perasmian bajet ekonomi Britain di parlimen.

Hammond berkata secara keseluruhan sejumlah AS$264 juta diperuntukan yang akan membantu mengekalkan reputasi Britain sebagai negara perintis dan terkemuka di dunia.

Superkomputer itu berupaya meningkatkan kemampuan sedia ada di Britain kepada lima kali ganda lebih pantas dan ribuan kali ganda berbanding komputer meja tradisional.

Ia dilihat penting untuk membantu penemuan dalam bidang perubatan, sains iklim, aeroangkasa dan dalam rawatan, khasnya untuk arthritis dan HIV.

Projek utama yang lain termasuk penyelidikan genetik di Cambridge dan teknologi laser terkini di Oxfordshire. – Bernama