LONDON, 10 Mac – Kerajaan Britain mengundang kritikan baharu semalam berhubung keputusannya membatalkan kewarganegaraan seorang remaja London yang telah menyertai kumpulan IS di Syria, selepas anak damitnya meninggal dunia di sebuah kem pelarian.
Shamima Begum, 19 tahun telah meminta untuk dihantar pulang ke tanah air selepas melahirkan anak lelakinya, Jarrah pada bulan lalu di dalam kem di timur laut Syria, namun London telah bertindak menolak permintaannya itu.
Jurucakap Pasukan Demokrasi Syria yang disokong Amerika Syarikat (AS), Mustefa Bali memberitahu AFP bahawa anak damit itu telah meninggal dunia tanpa memberikan sebarang maklumat lanjut.
Manakala, menurut BBC, anak damit tersebut mengalami masalah radang paru-paru, berdasarkan kepada sijil perubatan anak damit berkenaan.
Nasib Begum telah mencetuskan perdebatan hangat di Britain, sama seperti kebanyakan negara lain yang sedang berdepan dilema sama ada memberi kebenaran kepada para pejuang jihad dan penyokong IS kembali ke tanah air untuk berdepan pendakwaan atau menghalang mereka dari pulang sama sekali.
Wanita itu berusia 15 tahun apabila meninggalkan timur London menuju Syria bersama dua orang lagi pelajar perempuan dan ditemui oleh wartawan di kem pelarian setelah melarikan diri dari pertempuran antara kumpulan pengganas dan pasukan yang disokong AS.
Begum memberitahu mereka bahawa dia mahu kembali ke tanah air untuk menyelamatkan anak damitnya itu dengan mengatakan dua orang anaknya sebelum ini telah meninggal dunia disebabkan sakit dan pemakanan tidak seimbang.
“Saya juga tidak mahu kehilangan anak damit ini dan tempat ini benar-benar bukan tempat sesuai untuk membesarkan anak di kem ini,” katanya kepada BBC ketika itu. – AFP

































