LONDON, 8 Mac – United Kingdom (UK) berkata negara itu akan mengambil satu langkah ‘luar biasa’ dengan memberikan perlindungan diplomatik kepada seorang wanita warga British-Iran, Nazanin Zaghari-Ratcliffe, yang dipenjarakan di Iran berhubung dakwaan pengintipan.
Setiausaha Luar, Jeremy Hunt berkata keputusan tersebut merupakan respons terhadap ‘layanan yang tidak boleh diterima’ yang dialami oleh wanita berkenaan termasuklah kekurangan penjagaan kesihatan semasa tiga tahun menjalani penahanan.
“Saya hari ini memutuskan bahawa UK akan mengambil satu langkah yang luar biasa dan memberikan perlindungan diplomatik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
“Ini mencerminkan pengiktirafan rasmi oleh kerajaan Britain bahawa rawatannya telah gagal dipenuhi oleh Iran di bawah undang-undang antarabangsa dan memindahkannya daripada isu rasmi kepada isu negara.”
Perlindungan diplomatik adalah satu mekanisme yang jarang sekali digunakan bagi membolehkan negara-negara lain mendapatkan perlindungan bagi pihak warganegaranya yang ditahan di mana mereka dipersalahkan oleh negara lain, menurut pejabat luar Britain.
Zaghari-Ratcliffe berdepan dengan masalah kesihatan, termasuklah menjalankan uji-an bagi kanser payudara dan beberapa siri serangan panik, tatkala keadaan emosinya bertambah buruk semasa penahanannya.
“Kami tidak dapat memberi jaminan kepada rawatan perubatan yang diperlukannya sekalipun terdapat jaminan yang bertentangan,” kata Hunt. – AFP

































