Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Britain gandakan dana banteras penyeludupan manusia

    GLASGOW, 4 NOV – Britain akan menggandakan peruntukan £75 juta untuk membanteras kumpulan penyeludupan manusia, menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Keir Starmer di Downing Street hari ini.

    Pembiayaan tambahan itu akan menyediakan £150 juta dalam tempoh dua tahun untuk komando keselamatan sempadan baharu di bawah Starmer, sebagai sebahagian daripada dasar beliau untuk mengurangkan jumlah pendatang tanpa dokumen yang tiba di Britain dengan menaiki bot kecil.

    Pengumuman itu dibuat ketika kerajaan baharu Parti Buruh pimpinan Starmer, seperti pentadbiran Konservatif sebelumnya berusaha mengurangkan jumlah pendatang, meskipun sebelum pilihan raya Starmer berjanji untuk ‘menghapuskan’ kumpulan penyeludupan yang terlibat.

    Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Interpol di Glasgow hari ini, Starmer dijangka menyatakan bahawa ‘dunia perlu menyedari betapa seriusnya cabaran ini’.

    Penghijrahan tanpa dokumen, terutamanya melibatkan mereka yang menyeberangi Selat Inggeris dari utara Perancis, menjadi isu utama dalam pilihan raya pada Julai lalu yang menyaksikan Parti Buruh pimpinan Starmer dipilih.

    Salah satu langkah pertama Starmer sebagai perdana menteri ialah memansuhkan rancangan kontroversi kerajaan Konservatif terdahulu untuk menghantar pencari suaka ke Rwanda.

    “Saya dipilih untuk memastikan keselamatan rakyat Britain. Sempadan yang kukuh adalah sebahagian daripada itu. Namun, keselamatan tidak terhenti di sempadan kita. Tiada apa yang progresif jika kita memejamkan mata sementara lelaki, wanita dan kanak-kanak mati di Selat Inggeris,” katanya. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda