Britain hadkan perhimpunan tidak melebihi enam orang

LONDON, 9 SEPT – Perdana Menteri Britain Boris Johnson akan mengumumkan larangan perhimpunan sosial melebihi enam orang di England bagi mencegah penularan COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

Langkah terbaharu mengurangkan jumlah maksimum perhimpunan sosial daripada 30 kepada enam individu – sama ada di dalam mahupun di luar bangunan, termasuk kediaman peribadi dan restoran – yang dirancang bermula 14 September, lapor media tempatan hari ini.

Larangan tersebut tidak digunakan di “sekolah, tempat kerja atau majlis perkahwinan yang mengamalkan langkah keselamatan COVID-19, pengebumian dan penganjuran sukan berkumpulan,” lapor British Broadcasting Corporation (BBC).

Sidang akhbar Downing Street hari ini “berlangsung dalam keadaan tergesa-gesa” berikutan lonjakan jumlah individu yang dijangkiti virus itu, menurut sebuah akhbar tempatan. – Bernama