Britain hantar 4 juta dos vaksin kepada Australia

SYDNEY, 3 SEPT – Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, hari ini mengumumkan bahawa Britain akan menghantar empat juta dos vaksin COVID-19 ke negara itu, ketika ia berusaha membendung wabak itu.

Menurut Morisson, pesawat yang akan membuat penghantaran vaksin Pfizer kini berada di landasan di United Kingdom (UK) dan akan berlepas dalam beberapa minggu.

“Sebanyak 292,000 dos pertama akan dihantar tidak lama lagi,” kata kerajaan Britain dalam satu kenyataan yang berasingan. Beberapa bandar terbesar di Australia kini menguatkuasakan perintah berkurung apabila jumlah kes dan kematian meningkat susulan penularan varian Delta di negara itu. Australia mempunyai bekalan vaksin AstraZeneca yang dihasilkan tempatan, tetapi rakyatnya ragu-ragu untuk mengambilnya kerana vaksin itu diwar-warkan menyebabkan pembekuan darah yang jarang berlaku. – AFP