Britain, Jepun meterai perjanjian perdagangan

TOKYO, 23 OKT – Britain mengalu-alukan perjanjian perdagangan pasca Brexit pertamanya pada hari ini selepas memeterai satu perjanjian dengan Jepun yang dikatakannya menunjukkan ia mampu berdikari di arena global, tatkala rundingan mengenai perjanjian dengan Kesatuan Eropah (EU)masih menemui jalan buntu.

London berkata perjanjian itu, yang dipersetujui selepas rundingan beberapa bulan pada musim panas, akan merangsang perniagaan di antara kedua-dua negara sebanyak 16.2 bilion pound (AS$19.5 bilion).

Perjanjian dicapai tatkala Perdana Menteri Boris Johnson meneruskan strategi ‘Global Britain’ yang berusaha memperoleh perjanjian perdagangan yang lebih menguntungkan berbanding perjanjian yang dirunding ketika ia menjadi anggota EU.

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif UK-Jepun merangkumi sektor termasuk makanan, tekstil dan teknologi dan sebahagian besarnya meniru pengaturan EU-Jepun sekarang, yang tidak lagi digunakan oleh Britain pada akhir tahun ini. Ia dijangka berkuat kuasa pada 1 Januari – berakhirnya tempoh peralihan di mana London dan Brussels berusaha mencapai persetujuan mengenai syarat-syarat hubungan baharu mereka sendiri.

Perniagaan Britain-Jepun bernilai kira-kira 30 bilion pound pada tahun lalu, sementara import dan eksport Britain ke Kesatuan Eropah, rakan perniagaan terbesarnya, berjumlah AS$670 bilion. – AFP

Setiausaha Perdagangan Antarabangsa Britain, Liz Truss (kiri) dan Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi bertukar dokumen perjanjian untuk perkongsian ekonomi di antara Jepun dan Britain di Kementerian Luar Iikura Annex di Tokyo kelmarin. – AP