Britain kecam junta singkirkan duta

LONDON, 8 APRIL – Britain mengecam tindakan junta Myanmar melakukan rampasan kuasa diplomatik apabila duta besar ke negara itu disingkirkan kerana menuntut pembebasan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi.

Diplomat yang setia kepada pihak berkuasa tentera Myanmar merampas kawalan kedutaan itu semalam, menyebabkan duta besar Kyaw Zwar Minn terkunci di luar bangunan dan tidak dibenarkan masuk.

Zwar Minn berkata, atase pertahanan mengambil alih misi terbabit dalam satu tindakan rampasan kuasa, dua bulan selepas tentera merampas kuasa politik di Myanmar.

Junta memanggil balik Kyaw Zwar Minn bulan lalu selepas dia mengeluarkan kenyataan yang mendesak pembebasan Suu Kyi dan presiden yang digulingkan Win Myint.

Menteri Luar Britain, Dominic Raab, menyatakan sokongannya kepada duta besar itu.

Duta Myanmar ke UK, Kyaw Zwar Minn dikelilingi anggota media semasa tiba di Kedutaan Myanmar di London pada 8 April. – AFP

“Kami mengutuk tindakan buli oleh rejim tentera Myanmar di London semalam, dan saya memberi penghormatan kepada Kyaw Zwar Minn di atas keberaniannya.

“Britain menuntut menghentikan tindakan rampasan kuasa dan kekerasan, dan pemulihan demokrasi yang cepat,” katanya melalui aplikasi Twitter.

Penunjuk perasaan berkumpul di luar kedutaan pada malam Rabu bersama duta yang disingkirkan.

Zwar Minn memberitahu Daily Telegraph bahawa ketika beliau meninggalkan kedutaan, mereka (diplomat yang menyokong tentera) menyerbu kedutaan dan mengambil alih kawalan.

“Mereka berkata menerima arahan dari ibu negara, jadi mereka tidak akan membenarkan saya masuk,” katanya yang meminta kerajaan Britain untuk campur tangan.

Ditanya siapa yang mengambil alih, beliau menjawab: “Atase pertahanan, mereka menduduki kedutaan saya”.

Menurut akhbar The Times, duta besar itu memberitahu bahawa atase pertahanan berusaha untuk melantik bekas timbalannya, sebagai timbalan duta. – AFP