Britain keluar lima amaran banjir ‘teruk’

LONDON, 17 FEB – Britain mengeluarkan lima amaran banjir ‘teruk’ hari ini, mengingatkan timbulnya ancaman nyawa selepas Ribut Dennis menurunkan hujan bersamaan satu bulan di sesetengah tempat.

Angin kencang juga mengakibatkan banjir dan bekalan elektrik terputus di kawasan lain di utara Eropah. Amaran banjir teruk dikeluarkan untuk daerah tengah Britain Worcestershire, Herefordshire dan Shropshire. Pejabat Met, agensi meteorologi Britain, mengeluarkan 221 amaran banjir untuk England, selain 24 untuk Wales dan 12 untuk Scotland.

Sistem cuaca membawa angin dengan kelajuan lebih daripada 145ksj dan sehingga 150 milimeter hujan pada hujung minggu.

Peramal cuaca berkata paras sungai di sebahagian kawasan utara England masih belum mencecah kemuncak mereka. Di utara bandar England York, pihak berkuasa sedang melonggok 4,000 beg pasir tatkala Rover Ouse terus meningkat. Ia dijangka mencecah kemuncak esok.

Penduduk lain di kawasan Wales dan barat England sedang membersihkan rumah mereka hari ini selepas ribut membanjiri jalan raya, kereta api, rumah dan perniagaan serta menjejas perjalanan di seluruh Britain.

Setiausaha alam sekitar Britain berkata perubahan iklim mencetuskan peristiwa cuaca yang melampau. Namun menafikan bahawa kerajaan Konservatif pimpinan Perdana Menteri Boris Johnson tidak bersedia untuk menanganinya.

“Kami tidak dapat melindungi setiap keluarga hanya disebabkan ciri-ciri perubahan iklim dan disebabkan peristiwa cuaca berkenaan semakin melampau sekarang, namun kami telah melakukan segala-galanya dengan peruntukan sejumlah wang, dan lebih banyak lagi bakal dilakukan,” kata Menteri George Eustice. Di Laut Utara, angin kencang dan hujan lebat mengakibat banjir, penutupan jalan dan bekalan elektrik terputus di rantau Nordic dan Baltic. – AP

Kenderaan ditenggelami dalam air banjir dari Sungai Teme berhampiran Lindridge, England, kelmarin. – AP