LONDON, 18 Sept – Pihak polis meningkat siasatan mereka hari ini ke atas pengeboman di kereta api bawah tanah London yang penuh sesak ketika waktu sibuk selepas para pegawai membuat tangkapan kedua dalam penyiasatan mereka.
Bom meletup pada pagi Jumaat di gerabak yang ramai orang dan meskipun bom itu dikatakan mengalami kepincangan, ia masih mencederakan 30 orang. Semalam Britain menurunkan gred ancaman pengganasan di negara itu dari tahap tertingginya ekoran penangkapan itu.
Itu adalah serangan ganas kelima di negara itu dalam tempoh enam bulan, siri-siri serangan yang telah meragut 35 jiwa.
Awal semalam pihak polis berkata lelaki berusia 21 tahun yang tidak didedahkan identitinya, ditahan lewat Sabtu lalu di Hounslow, di lingkaran barat ibu negara itu.
Bagaimanapun, menurut agensi berita China Xinhua yang memetik laporan televisyen, berkata, seorang suspek terbabit dalam insiden letupan di sebuah stesen kereta api bawah tanah Parsons Green yang ditahan polis Sabtu lepas, dikenal pasti sebagai Yahyah Farroukh.

Berusia 21 tahun, suspek beralamat di Stanwell, Surrey dan gambarnya disiarkan buat pertama kali oleh media Britain sejak suspek ditahan di sebuah kedai ayam goreng di Hounslow pada Sabtu malam, manakala, suspek berusia 18 tahun ditahan di pelabuhan feri Dover pada Sabtu pagi.
“Pusat Bersama Analisis Pengganas yang mengkaji semula tahap ancaman di UK, memutuskan untuk mengurangkan tahap dari kritikal kepada teruk,” menteri dalam negeri Amber Rudd berkata dalam kenyataan televisyen.
Ancaman kritikal bermakna satu lagi serangan ‘yang pastinya dijangkakan’ manakala ancaman teruk menunjukkan serangan adalah berkemungkinan besar.
Usaha memburu dijalankan semalam di Stanwell, beberapa batu barat Hounslow, dalam kaitan dengan penangkapan lelaki berusia 21 tahun itu, menurut polis.
Selepas menahan lelaki berusia 18 tahun awal Sabtu lalu berhubung serangan ‘bom baldi’ di stesen bawah tanah Parsons Greens, menurut polis mereka sedang memburu lebih ramai suspek. Rudd berkata pihak polis cuba menyiasat bagaimana lelaki pertama yang telah diberkas ‘diradikalkan.” – AFP/Bernama