LONDON, 20 Mac – Britain berkata hari ini ia akan mula meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada 29 Mac, menetapkan laluan bersejarah dan tidak dicartakan untuk menjadi negara pertama yang berundur dari blok pada Mac 2019.
Sembilan bulan selepas undian referendum bagi Brexit, kerajaan Perdana Menteri Theresa May akhirnya akan mencetuskan Artikel 50 bagi Perjanjian Lisbon EU minggu depan, memulakan proses pengunduran dua tahun.
“Kami berada di ambang rundingan paling penting bagi negara ini bagi satu generasi,” kata Menteri Brexit, David Davis. Suruhanjaya Eropah berkata bahawa ia sudah sedia untuk memulakan rundingan, walaupun sumber di Brussels berkata ia akan mengambil masa ‘empat ke enam minggu’ untuk mengatur sidang kemuncak bagi mempersetujui kedudukan EU bersama.
Britain adalah salah satu negara anggota tertua dan terbesar dalam blok 28 negara, dan pengundurannya itu telah membangkitkan kebimbangan tentang masa depan EU ketika gerakan pewaham euro meraih sokongan di seluruh benua.
London berulang kali telah mengatakan ia mahu mengekalkan hubungan baik dengan sekutu-sekutu Eropahnya namun perjuangan besar telah menanti, terutama berhubung sumbangan bajet, imigrasi dan hubungan masa depan perdagangan. – AFP
