Wednesday, November 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Britain mahu jadi pemimpin kendali AI

    UNITED KINGDOM, 24 SEPT– Britain pada Jumaat memperkenalkan diri sebagai pemimpin yang bersedia membentuk tanggapan antarabangsa terhadap peningkatan kecerdasan buatan (AI), dengan Timbalan Perdana Menteri, Oliver Dowden memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa negaranya “bertekad untuk berada di barisan hadapan.”

    Mempromosikan syarikat-syarikat teknologi United Kingdom (UK), universiti-universiti dan inovasi era Revolusi Perindustrian, beliau berkata negara itu mempunyai ‘asas untuk menjadikan AI berjaya dan selamat.” Beliau turut mencadangkan bahawa pasukan petugas AI Britain, yang sedang mengkaji kaedah untuk menilai kelemahan sistem AI, boleh membangunkan kepakaran untuk ditawarkan secara antarabangsa.

    Ucapan beliau di perhimpunan tahunan pemimpin dunia itu memberi gambaran awal kepada satu sidang kemuncak keselamatan AI yang akan diadakan oleh Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, pada November. Ucapan Dowden juga datang ketika negara-negara lain dan kumpulan-kumpulan multinasional, termasuk Kesatuan Eropah, blok yang ditinggalkan oleh Britain pada tahun 2020 sedang membuat langkah dalam AI.

    EU tahun ini meluluskan peraturan yang memperkenalkan keperluan dan kawalan berdasarkan tahap risiko yang dihadapi oleh mana-mana sistem AI, dari rendah (seperti penapis spam) hingga tidak dapat diterima (contohnya, mainan interaktif untuk kanak-kanak yang mempromosikan aktiviti berbahaya).

    PBB, sementara itu, sedang mengumpulkan lembaga penasihat untuk membuat cadangan mengenai penstrukturan peraturan antarabangsa untuk AI. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda