LONDON, 19 JULAI – Kerajaan British hari ini menamatkan sekatan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di England, merangkumi semua prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal.
Tindakan itu menerima kritikan dan amaran dalam kalangan parti pembangkang serta saintis yang menyifatkannya sebagai bakal mengundang bahaya.
Bermula tengah malam tadi, kelab malam boleh dibuka semula dan lain-lain premis tertutup dibenarkan beroperasi dalam kapasiti penuh. Dalam pada itu, undang-undang yang meliputi pemakaian penutup mulut dan hidung dan bekerja dari rumah turut dimansuhkan.
Perdana Menteri Boris Johnson, yang kini menjalani kuarantin kendiri selepas mempunyai kontak rapat dengan menteri kesihatan yang positif COVID-19, meminta orang awam terus berwaspada. Beliau mempertahankan dasar membuka semula sektor berkenaan, yang dianggap sebagai ‘Hari Kebebasan’ oleh beberapa agensi media, walaupun saintis menyuarakan kebimbangan kerana jangkitan harian di Britain kini mencecah 50,000 kes di belakang Indonesia dan Brazil.
“Jika kita tidak lakukan sekarang, kita akan buka semula pada musim luruh atau pada musim sejuk sewaktu virus mempunyai kelebihan ketika cuaca sejuk. Minggu ini akan mula cuti persekolahan musim panas, yang menawarkan ‘penghalang bernilai’ bagi membolehkan kita menyesuaikan kehidupan di sebalik ancaman koronavirus.
“Sekiranya kita tidak melakukannya sekarang, kita harus tanya pada diri sendiri, bila lagi kita akan lakukannya? Jadi, ini adalah masa tepat tetapi kita harus melakukan dengan berhati-hati,” katanya menerusi mesej video. – AFP

































